Rabu, 22 Jun 2011

Buah Naga atau Epiphytes atau Pitaya.

RANUM...buah naga yang sudah masak mesti dipetik bagi mengelak gugur sendiri.
Buah naga mempunyai banyak keistimewaan. Bermula daripada pokoknya yang tahan lasak iaitu bebas daripada serangga, berikutan tumbuhan ini termasuk dalam spesies pokok kaktus, menyebabkan racun serangga tidak perlu digunakan ketika penanaman.


Antara keistimewaan buah naga adalah bebas daripada racun serangga. Bahan makanan yang bebas daripada penggunaan racun serangga adalah yang terbaik untuk kesihatan kerana buah ini bebas daripada bahan kimia.

Di sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada spesies kaktus ini mudah ditanam di kawasan tanah berpasir yang kaya bahan organik serta mempunyai saliran semula jadi yang efisien.

Buah naga mempunyai sifat fisiologi iaitu memerlukan tempoh cahaya yang panjang pada waktu siang. Tumbuhan ini hidup secara menjalar dan memerlukan sokongan untuk tumbuh. Oleh itu ia memerlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut.

Pokok yang sudah ditanam perlu diikat pada tiang supaya tidak mudah terkulai dan patah. Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia akan menjalar ke atas mengikut tiang.

Setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga. Ini bermakna 2,000 batang pokok diperlukan pada keluasan seekar.

Pokok buah naga boleh ditanam menggunakan kaedah semaian biji atau keratan batang. Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah diperoleh dan pokok membesar dengan cepat.

Keratan benih dikeringkan di tempat yang sesuai dan ditanam dalam beg. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang jika tapak dan tiang para sudah disediakan.

Tidak seperti buah-buahan lain, pokok buah naga sesuai ditanam secara organik.Baja organik cecair boleh disembur tujuh hari sekali dan makin kerap apabila pokok sudah membesar. Salur air yang keluar hendaklah dibuang supaya pokok utama dapat membesar dengan baik. Pembajaan berjadual dan mengikut keperluan pokok perlu diamalkan bagi menjamin pertumbuhan pokok dan buah yang berkualiti dan berterusan.Hasil kajian mengenai buah naga mengakui keistimewaan pokok ini kerana tidak memerlukan air yang banyak.

Ini kerana buah naga sama seperti pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air. Air hanya diperlukan pada musim panas saja.Secara amnya, pokok disiram seminggu sekali, tetapi jika hujan pada minggu itu, pokok tidak perlu disiram.

Bagi mengelak dimakan serangga, buah naga yang masih hijau akan dibalut menggunakan plastik biru dan dibiarkan sehingga boleh dipetik yang mengambil masa lima minggu setelah pokok berbunga.

Keistimewaan pokok naga apabila boleh berbuah sehingga 30 biji dalam satu masa manakala pokok ini boleh hidup sehingga 100 tahun lamanya. Penjagaan pokok naga sama seperti manusia. Jika dijaga pemakanan dan persekitarannya tidak mustahil pokok akan hidup lebih lama.

Buah naga yang rasanya seakan-akan buah kiwi boleh didapati dalam dua warna iaitu putih dan merah. Mengikut pakar pemakanan buah yang isinya merah mempunyai lebih banyak khasiat berbanding putih serta kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain.

Buah kaktus madu ini cukup kaya dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan metabolisme dalam badan manusia. Buah ini sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan racun dalam darah. Buah naga mengandung 80 peratus air, vitamin C, serat, kalsium, zat besi dan fosforus yang bermanfaat untuk membantu menangani penyakit darah tinggi. Kandungan seratnya mencegah sembelit dan zat besi yang tinggi membantu mencegah anemia terutama bagi ibu hamil.

Bagi bayi, vitamin B3 (asid folik) membantu pembentukan dan perkembangan sistem saraf tulang belakang, sementara kalsium bermanfaat untuk pembentukan tulang dan gigi yang kuat. Kandungan serat pada buah naga yang mencapai 0.7 gram hingga 0.9 gram juga sangat berguna dalam sistem pencernaan dan menurunkan kadar kolesterol.

Kajian juga menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah, juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah. Buah ini boleh mencegah kanser usus, mengurangkan kandungan kolesterol dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan.

Setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu meningkatkan metabolisme tubuh dan menjaga kesihatan jantung, serat bagi mencegah kanser usus, kencing manis dan diet, keratin untuk kesihatan mata, menguatkan otak dan mencegah penyakit manakala kalsium untuk menguatkan tulang selain isinya yang halus, lembut dan lazat mengandungi enzim yang boleh menghalang tanda penuaan. Khasiat vitamin C berupaya menjadikan kulit halus, lembut serta mencegah jerawat.

Produk yang terhasil dari Buah Naga


Selain dijadikan pencuci mulut yang lazat buah naga boleh dijadikan jus, jem dan minuman kolagen.
Menyedari keistimewaan buah ini yang bukan saja sesuai dimakan begitu saja, pelbagai produk telah daripada buah naga. Dengan adanya penyelidikan dalam bidang makanan diharap lebih banyak produk bermutu berasaskan buah naga dapat dihasilkan.

Antara kebaikan buah naga adalah membantu untuk:

1. Meningkatkan daya tahan terhadap penyakit.
2. Mengurangkan metabolisme badan.
3. Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.
4. Mengurangkan tekanan emosi.
5. Meneutralkan toksik dalam darah.
6. Mencegah kanser usus.
7. Mencegah kandungan kolesterol.
8. Menurunkan kadar lemak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan